Peneroka Felda terima bantuan khas bersasar RM300
SUNGKAI – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001- RM2,000 akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.
“Bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan FELDA seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri,” katanya ketika berucap di Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains MARA Felda (MRSMF), Sungkai di sini, semalam.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menjelaskan bahawa kementerian telah meluluskan projek pembinaan jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, Perak pada tahun lalu dengan kos RM35 juta.
“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024. Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3km dengan spesifikasi JKR R1.
“Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Trolak dengan menjimatkan perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja” katanya.
Tambahnya lagi, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara turut diarah menyelaraskan program TVET khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi memberi peluang kepada generasi keempat dan kelima Felda.
Ia termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMARA, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.
“Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak Felda untuk menyambung pengajian di UniKL khususnya kursus TVET pada sesi pengambilan akan datang. Insya Allah MARA akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran,” katanya.
Datuk Seri Zahid dalam majlis itu juga memberikan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 orang anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.
Sumbangan ini disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000, RM13,000 dari Waqaf Felda dan baki RM3,050 dari JKKR Gabungan Wilayah Trolak.