Berita Semasa

Rakyat Palestin ke Malaysia untuk rawatan, tidak akan tinggal secara kekal – Duta Palestin

KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin yang cedera dan kini menerima rawatan di Malaysia tidak akan tinggal di negara ini secara kekal.

Perkara itu ditegaskan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, yang mengakui turut terkejut dengan kritikan terhadap inisiatif Malaysia menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin terjejas peperangan di Gaza.

“Malaysia menjadi negara tuan rumah buat warga Palestin yang cedera ini buat sementara waktu untuk rawatan perubatan mereka.

“Mereka akan pulang semula selepas rawatan yang diberikan selesai. Warga Palestin yang dibawa ke Malaysia ini tidak berhasrat menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan kekal untuk mereka,” katanya kepada portal Scoop.

Mengenai kritikan yang diterima, Walid menggesa rakyat Malaysia untuk melihat inisiatif itu melalui kaca mata kemanusiaan dan bukannya politik.

“Saya benar-benar terkejut dengan tindak balas berkenaan. Walaupun saya tidak terbabit dalam politik domestik Malaysia, saya menyedari bahawa tiada inisiatif yang mendapat sokongan sebulat suara, jadi adalah perkara biasa untuk menghadapi suara-suara sumbang yang mengkritik inisiatif berkenaan,” katanya dalam laporan tersebut.

Sebelum ini, sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan individu dilaporkan menyuarakan kekhuatiran ke atas kritikan yang diterima kerajaan atas keputusan untuk membawa 127 rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Lebih menyedihkan, ada yang meminta Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Palestin berikutan perhatian yang diberikan terhadap usaha menyediakan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera, di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button