‘Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu!’ – Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO meneruskan gesaan supaya umat Islam untuk meneruskan tindakan memboikot rangkaian pasar raya KK Super Mart.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, tindakan berkenaan akan menjadi satu pengajaran kepada pihak yang memperlekehkan agama dan kaum.
Beliau pada masa yang sama turut menyindir pihak yang menggesa supaya tindakan memboikot rangkaian pasar raya itu dihentikan.
“Kekal tenang dan teruskan memboikot! Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu!
“Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa. Ini masa kita semua bersama,” kata Dr Akmal dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa Muhammad Akmal memberhentikan kempen tersebut.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa tindakan Muhammad Akmal bersifat menghasut sentimen perkauman dan agama.
Katanya, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang digunakan Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia mudanya dan era globalisasi pada hari ini.
Bagi Kor Ming, permohonan maaf KK Mart melalui saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.
Sebelum ini KK Mart menghadapi kecaman hebat kerana menjual stoking bercetak kalimah ‘Allah’ dalam tulisan Arab dan Rumi mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.
Tindakan itu disifatkan sebagai biadab dan merupakan siri berterusan menghina agama Islam.