Politik

Pemuda UMNO tubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi wakil rakyat

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi wakil rakyat dari sayapnya bagi memastikan mereka menjalankan amanah dengan bertanggungjawab.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh memberitahu, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Pemuda, Hafiz Ariffin.

“Tugas jawatankuasa ini adalah untuk pastikan setiap wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO mencapai KPI yang ditetapkan oleh jawatankuasa dari masa ke semasa.

“Semua akan ada report card untuk kita nilai sama ada prestasi mereka cemerlang atau sebaliknya,” katanya.

Dr Akmal berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Kata Dr Akmal lagi, bagi ahli Pemuda UMNO yang berhajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat pula, satu aplikasi suda dibangunkan supaya orang ramai boleh menyalurkan aduan-aduan terutama dalam isu-isu membabitkan lokaliti di sesuatu kawasan.

Katanya, mereka boleh tampil untuk membantu dengan melihat masalah-masalah yang berlaku dengan menyalurkannya kepada Ketua-Ketua Pemuda Bahagian di kawasan mereka.

Tambahnya, jika masalah yang berlaku tidak dapat diatasi ia sekurang-kurangnya boleh mempermudahkan urusan yang perlu diselesaikan.

“Untuk yang berhajat menjadi wakil rakyat pula, buat Pemuda Bahagian mahupun Cawangan, kita akan melancarkan apps yang boleh dimuat turun oleh semua orang, bukan sahaja ahli parti semata-mata.

“Menerusi apps ini, orang ramai boleh membuat aduan berhubung permasalahan mereka dan isu-isu yang bersifat lokaliti, dan barisan Pemuda perlu segera tampil membantu menyelesaikan aduan-aduan ini,” ujarnya.

Katanya lagi, Pemuda hanya mahukan mereka betul-betul dapat dilihat dan dinilai samada mereka berwibawa untuk menjadi seorang ‘Yang Berkhidmat’ atau sebaliknya.

“Kalau ada aduan di tempat anda semua di dalam apps ini, tetapi tiada respons daripada Pemuda, jangan mimpi, jangan mimpi, jangan mimpi untuk menjadi wakil pemuda UMNO Malaysia. Jelas?” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button