Kerajaan komited utamakan penggajian pekerja tempatan dalam pasaran pekerjaan negara
KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran dalam kalangan graduan tempatan adalah disebabkan beberapa faktor penyumbang seperti gaji rendah dan sikap memilih kerja, dan bukannya akibat kewujudan tenaga kerja mahir asing sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun berkata, kerajaan komited dengan dasar untuk memberi keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran pekerjaan negara.
“Oleh demikian, jumlah pekerja asing yang digajikan dalam pasaran buruh negara masih di bawah 15 peratus seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Dakwaan berlaku lambakan pekerja asing di Malaysia adalah kurang tepat,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) di Parlimen.
Dalam pada itu, menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) berkenaan jumlah mahasiswa dituduh di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sejak 2018 hingga tahun lalu, beliau berkata, seramai 945 pelajar dituduh bagi kesalahan akademik seperti meniru dan membawa nota semasa peperiksaan.
Kata Zambry lagi, jumlah pelajar yang melakukan kesalahan bagi kategori bukan akademik pula adalah seramai 1,049 orang.
“Kesalahan bukan akademik terbahagi kepada beberapa kategori kesalahan seperti kes dadah, sosial atau moral, kesalahan berkaitan media sosial, buli, bergaduh, mencuri dan lain-lain,” katanya.