1,500 bubur lambuk diedarkan untuk warga Shah Alam berbuka puasa
SHAH ALAM – Sempena bulan Ramadan ini, Majalah Rasa menganjurkan program Rasa Bubur Lambuk Warisan 2024 dengan memasak 1,500 mangkuk bubur lambuk.
Program Rasa Bubur Lambuk Warisan ini telah berlangsung selama enam tahun berturut-turut diadakan di AEON Mall Shah Alam hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, pihaknya genbira dengan komitmen penuh para penaja dan rakan kolaborasi terhadap program Rasa Bubur Lambuk Warisan 2024 ini.
“Kami sangat berbangga dan bersyukur dapat bersama-sama dengan BABA’S untuk menyumbang kepada masyarakat, terutamanya kepada petugas beruniform dan warga Shah Alam, melalui inisiatif penyediaan 1,500 mangkuk bubur lambuk.
“Semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam berbakti kepada masyarakat. Ini semua selaras dengan nilai-nilai yang kami galakkan, dan kami berharap program ini dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada mereka yang menerima sumbangan ini,” katanya.
Dalam pada itu Syamil juga mengajak pihak lain dari sektor korporat dan masyarakat untuk turut serta dalam usaha ini, mendukung program kebajikan dan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
“Melalui kolaborasi ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk menjayakan inisiatif kebajikan yang sejajar dengan nilai-nilai kemasyarakatan dan keinsanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran BABA‘S, Azrain Mohamad berkata, ini merupakan penglibatan kali kedua BABA’S dalam program tersebut.
“Ini merupakan kali kedua penglibatan BABA’S dan sangat berbesar hati dapat bekerjasama. Kami menggunakan beberapa produk keluaran sebagai bahan utama masakan bubur lambuk warisan pada kali ini, antaranya Serbuk Kurma Baba’s, Serbuk Sup Baba’s dan Serbuk Jintan Manis dan Serbuk Lada Hitam Baba’s.
“Gabungan ini menghasilkan rasa enak dan menaikkan selera,” katanya.