NUTP kesal dakwaan guru ambil MC palsu tanpa bukti kukuh
KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) membidas dakwaan yang menyatakan guru sebagai kumpulan penjawat awam paling ramai mengambil cuti sakit (MC) tanpa bukti sahih.
Setiausaha Agung NUTP, Datuk Fouzi Singon berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab itu secara langsung mempersoalkan profesionalisme lebih 450,000 guru yang komited mendidik anak-anak bangsa.
“Dakwaan itu juga mempertikai etika kerja Pegawai Perubatan yang memberikan MC berdasarkan penilaian kesihatan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pengeluaran MC adalah tertakluk kepada Perintah Am 15 Bab C, yang memberi kuasa kepada Ketua Jabatan untuk menerima sijil sakit daripada doktor swasta mengikut budi bicara.
Malah katanya, peraturan itu diperincikan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2006 dan surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 18 Februari 2022 yang menjelaskan penambah baikan dalam penerimaan MC.
“MC dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan yang bertauliah sama ada dari hospital kerajaan atau swasta, selepas mendapati seseorang guru tidak sihat untuk menjalankan tugas.
“Jika ada guru yang didapati memalsukan MC, tindakan undang-undang perlu diambil mengikut peraturan sedia ada,” katanya lagi.
Fouzi mengulas kenyataan yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mendakwa guru merupakan kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku pemalsuan MC, selain ada yang sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.
CUEPACS dilaporkan menyebut bahawa kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam setiap tahun terlibat dalam pemalsuan MC dan menyalahgunakan cuti kecemasan.
Dalam pada itu, Fouzi turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Madani atas pengiktirafan peranan guru menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024.
Pekeliling itu mengekalkan laluan kenaikan pangkat secara “time-based”, yang memberikan guru peluang kenaikan pangkat dalam tempoh yang ditetapkan, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan dan sumbangan para guru.