Berita Semasa

MOT & KESUMA rintis skim perlindungan keselamatan untuk golongan bekerja sendiri

RAKYAT Malaysia hari ini menyaksikan sinergi penting yang dilakukan kerajaan dalam usaha meningkatkan perlindungan keselamatan sosial bagi individu bekerja sendiri melalui pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Majlis pelancaran yang diadakan di Menara PERKESO Putrajaya, semalam adalah hasil kerjasama rapat antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang menterjemahkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan aspek perlindungan diri terutama dalam kalangan pekerja sektor pengangkutan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya berkata, inisiatif yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bertujuan memberi jaminan kepada pencarum apabila ditimpa bencana.

Lebih menarik katanya, sebanyak 90 peratus daripada nilai caruman dalam skim itu akan ditanggung oleh kerajaan melalui bajet RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan Madani 2024.

“Menerusi inisiatif ini, mereka yang bekerja di sektor informal hanya perlu membayar baki sebanyak 10 peratus iaitu RM23.30 bagi perlindungan selama dua belas bulan dari tarikh mula mencarum bersamaan 6 sen sahaja sehari .

“Justeru, dengan peruntukan ini kerajaan mensasarkan 500,000 pekerja sendiri berupaya menikmati perlindungan SKSPS,” katanya.

Steven Sim berkata, komitmen yang diberikan oleh MOT dalam inisiatif itu merupakan langkah yang proaktif dan wajar dicontohi oleh semua pihak khususnya kementerian, jabatan, agensi dan juga penglibatan syarikat swasta.

“Saya ingin menyeru semua kementerian, agensi-agensi berkaitan yang mempunyai potensi orang bekerja sendiri yang lain mengambil langkah proaktif seperti MOT dalam memastikan perlindungan keselamatan sosial ke atas individu bekerja sendiri khususnya pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan”, katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada individu bekerja sendiri untuk menyertai SKSPS demi kepentingan perlindungan diri dan keluarga mereka.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan juga turut menunjukkan kepedulian terhadap keselamatan sosial pemandu teksi, pemandu kereta sewa, dan pemandu bas sekolah dengan menyokong inisiatif tajaan caruman SKSPS kepada 50,000 individu dalam sektor tersebut.

Anthony Loke dan Steven Sim ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO

Menterinya, Anthony Loke berkata, melalui skim ini, kerajaan bukan sahaja melindungi setiap individu daripada jumlah itu tetapi setiap ahli keluarga pencarum, atas risiko yang dihadapi mereka setiap hari ketika keluar mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya turut percaya bahawa kecaknaan daripada kementerian, agensi-agensi berkaitan memainkan peranan penting dalam memastikan perlindungan keselamatan sosial kepada orang bekerja sendiri dan memastikan no one left behind dalam dilindungi di bawah payung PERKESO”, ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button