Berita Semasa

KKM komited laksanakan Operasi Ramadan 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) komited melaksanakan Operasi Ramadan 2024 di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara bagi memastikan juadah yang disediakan atau dijual adalah selamat.

KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan, selaras dengan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh PBT telah bermula sebelum Ramadan lagi.

“Ini diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis-premis tumpuan seperti hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis-premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais,” ata KKM dalam kenyataan tersebut,” hari ini.

Kata KKM lagi, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media elektronik dan media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka,” jelas KKM.

Tambah kementerian itu, sebelum membeli makanan, orang ramai dinasihati agar ‘perhati dan pilih’ serta amalkan ‘lihat, hidu, rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal dari waktu untuk dijual,” kata KKM.

Menurutnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan menerusi lawan sesawang ini serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM),” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button