450 lokasi Program Jualan Rahmah sepanjang Ramadan
PAPAR – Kerajaan terus memperluaskan Agenda Payung Rahmah dengan penganjuran 450 lokasi Program Jualan Rahmah (PJR) sepanjang bulan Ramadan di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang akan bermula pada 1 Ramadan itu akan akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga sehingga 30 peratus.
“Selain penjualan barang-barang keperluan kering sebagaimana kebiasaan, PJR Ramadan akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras dan telur ayam.
“Bekalan produk yang terlibat pada jualan murah ini juga melibatkan kerjasama daripada agensi Kerajaan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya Ahli Parlimen Papar itu.
Armizan berkata demikian selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini.
Katanya lagi, sepanjang Ramadan ini terdapat dua program utama yang dilaksanakan KPDN iaitu PJR Ramadan dan juga bazar Ramadan.
“Program bazar Ramadan saya telah minta Timbalan Menteri KPDN membuat perasmian dan mengumumkan apa intipati atau pengisian program tersebut,” katanya.
Maklumat pelaksanaan PJR Ramadan boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.