Berita Semasa

Ramadan: Menteri Agama rasmi pelancaran 22 rancangan istimewa TV AlHijrah

KUALA LUMPUR – Berbaki beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, stesen TV AlHijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik dengan tema “Ramadan Mentadabbur Keindahan”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Daruk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru kepada semua pihak khususnya para penonton untuk bersama-sama melipat gandakan doa dan munajat agar terus dikurniakan nikmat iman dan Islam serta dijauhkan dari sifat kesombongan diri.

Jelas beliau, para penonton juga harus cakna dan mengambil tahu isu-isu kemanusiaan serta kasih sayang dalam usaha untuk terus menyebarkan keindahan dalam kehidupan.
 
“Peranan TV AlHijrah sebagai salah sebuah agensi Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah untuk memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada masyarakat agar saling berkasih sayang serta bantu membantu sepanjang bulan mulia ini.
 
“Adalah menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat stesen TV AlHijrah sebagai sebuah stesen terulung dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang rahmah serta mesej-mesej kerajaan khususnya agenda membangun Malaysia Madani.
 
“Syukur Alhamdulillah, berkat kerja kuat serta kesungguhan seluruh warga TV AlHijrah, stesen ini sentiasa mendapat kepercayaan tinggi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mohd Na’im merasmikan Majlis Pelancaran 22 rancangan istimewa TV AlHijrah sempena Ramadan kali ini di Stesen KTM Kuala Lumpur di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Daruk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyantuni penumpang ETS – Foto Facebook Dato’ Setia Dr. Naim.

Yang hadir sama, Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron; Ketua Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata bulan Ramadan adalah bulan yang pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah.
 
“Pada Ramadan 2023 yang lalu, jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah adalah sebanyak 6.4 juta tontonan. Bagi tahun ini, sasaran peningkatan tontonan meningkat sebanyak 10 peratus, melonjak kepada 7 juta tontonan sepanjang Ramadan.
 
“Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Apa Cerita Kome bersama Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi.

“Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu,” jelasnya.
 
Tambah Mohd Na’im buat pertama kalinya, TV AlHijrah akan menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Syafie.
 
“Drama Risalah Imam Al-Syafie ini akan disiarkan sebanyak 30 episod siaran, setiap hari, jam 6 petang. Selain itu, dua filem terbaik Ramadan yang akan ditayangkan adalah Imam dan Perjalanan Pertama.
 
“Filem Imam adalah filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 2023 arahan Mior Hashim Manap yang merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.
 
“Kita mahu mendekati penonton-penonton baharu dengan segmen filem dan drama. Program agama tidaklah terhad kepada kuliah, forum dan tazkirah semata-mata. Filem dan drama juga adalah salah satu bentuk wahana dakwah yang berkesan apabila diolah dengan baik. Ini adalah sebahagian perjuangan TV AlHijrah dalam nuansa dakwah penyiaran,” ujar beliau.
 

Show More

Related Articles

Back to top button