71 terima Sijil Eksekutif 2023 anjuran Institut Koperasi Malaysia
PETALING JAYA – Seramai 71 peserta telah yang mengikuti program Sijil Eksekutif 2023 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) diraikan dalam satu majlis penganugerahan di sini hari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, penawaran program sijil tersebut adalah berdasarkan usaha ke arah tiga Pelan Transformasi Koperasi 2021-2025 (TransKoM).
Jelasnya, ia yang menekankan kepada aspek pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan bagi mewujudkan modal insan produktif, berpengetahuan, berinovasi, berintegriti dan berdaya maju.
“Matlamat utama program sijil eksekutif ini adalah untuk meningkatkan kebolehan serta mencipta tenaga profesional dalam bidang koperasi terutamanya dikalangan belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yahya berkata, modal insan koperasi digalakkan mengikuti latihan secara berterusan di IKMa yang komited dalam memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat.
Ujar beliau, IKMa sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan hubungan dengan pemain industri koperasi agar program-program yang ditawarkan sentiasa progresif, berdaya saing dan mengikut peredaran masa.
“Dengan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), IKMa membuka ruang pembelajaran akademik kepada belia-belia diluar sana terutamanya dikalangan anak-anak koperator, koperator dan tenaga kerja koperasi untuk mereka mengejar pendidikan tinggi dalam bidang koperasi dari peringkat Diploma hingga ke peringkat Phd.
“IKMa juga berharap untuk mendorong golongan belia agar melihat koperasi sebagai sebuah model perniagaan yang berpotensi membawa kejayaan.
“Slogan “Pencetus Minda Koperasi Negara” menuntut IKMa untuk terus berinovasi dalam merancang dan membangunkan setiap program latihannya,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, majlis penganugerahan pada kali ini melibatkan empat kategori Sijil Eksekutif iaitu Sijil Eksekutif Pengurusan Koperasi (SEPKo), Sijil Eksekutif Setiausaha Koperasi (SESKo), Sijil Eksekutif Pemasaran Digital (SEPDi) dan Sijil Eksekutif Pengurusan Runcit (SEPRACE).