Berita SemasaPolitik

Sultan Selangor dukacita kenyataan Hadi Awang: Jangan guna agama sebagai tunggangan politik – Zahid

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada semua pemimpin politik di negara ini agar tidak menjadikan agama sebagai tunggangan bagi kepentingan politik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara berkaitan agama, hukum dan fatwa harus dijadikan batu sempadan dalam memberikan pandangan dan pendapat.

“Jika masalah-masalah hukum bagaimana yang terdapat dalam al-Quran, hadis, qias dan ijmak ulama saya tidak perlu menasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama untuk landasan itu.

“Tapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik,” katanya selepas diminta mengulas mengenai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan Majlis Perasmian Surau Bergerak Bas Dua Tingkat di perkarangan Masjid Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghargai titah Sultan Sharafuddin dan menegaskan ia sebagai amaran kepada parti politik termasuk UMNO agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Saya amat menghargai titah Tuanku ini sebagai amaran bukan untuk seseorang individu itu sahaja tetapi untuk pemimpin-pemimpin partinya dan juga pemimpin mana-mana parti termasuk UMNO suapaya tidak melakukan kesalahan yang sama,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button