Politik

Ismail Sabri kata gesaan Rafizi boikot peniaga tidak bernas

BANGI – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa supaya orang ramai memboikot restoran dan kedai makan yang mengenakan harga mahal kepada pelanggan.

Ismail Sabri yang menyifatkan seruan Timbalan Presiden PKR itu tidak bertanggungjawab berkata, Rafizi sepatutnya berusaha mencari jalan untuk menyediakan bekalan bahan mentah pada harga lebih murah untuk mengimbangi kadar kenaikan harga barang.

“Saya lihat dalam laporan media beliau (Rafizi) menyatakan kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makan. Kalau harga bahan mentah meningkat, ayam dan sayur mahal, ikan mahal, pastinya peniaga restoran perlu naikkan harga.

“Kalau kita boikot peniaga, ia tak membantu mereka.

“Kerajaan (sebaliknya) perlu pastikan harga bahan mentah dapat diturunkan untuk bantu peniaga jual makanan dengan lebih murah dan rakyat dapat harga makanan yang lebih murah,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebagai seorang menteri, Rafizi sepatutnya mencari jalan untuk menurunkan harga di pasaran bukannya bersikap lepas tangan dan menghukum peniaga.

Sementara itu, Ismail Sabri mencabar individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu harga barang ketika beliau menjadi Perdana Menteri, supaya berbuat perkara sama terhadap pentadbiran kerajaan sekarang.

“Mengenai (pengeluaran) KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), semalam, sewaktu saya sedang bersenam dan makan, ada mak cik datang dan mengadu pada saya minta kalau boleh mereka keluarkan KWSP.

“Dulu waktu (pentadbiran) saya, ramai yang bising bila kita membuat kajian, sama ada boleh dikeluarkan KWSP atau tidak. Akhirnya kita (benarkan) keluarkan.

“Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara kali ini minta untuk dikeluarkan KWSP. Mana-mana yang bersuara kuat semasa saya jadi Perdana Menteri dulu, silakan bersuara lagi,” katanya tanpa mendedahkan individu yang dimaksudkan.

Show More

Related Articles

Back to top button