KEB2024 satu penambahbaikan kepada dasar sedia ada – Mohamad
PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) merupakan satu langkah penambahbaikan kepada kekurangan dasar sedia ada.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, objektif utama KEB2024 bukan untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) tetapi adalah untuk menstrukturkan semula penyertaan Bumiputera dalam kek ekonomi.
“Kita tak ganti apa-apa. DEB tetap DEB tapi kongres ini transformasi semula untuk melihat apa kejayaan yang telah kita capai termasuk penubuhan-penubuhan agensi kerajaan daripada KEB siri 1 dan 2 sebelum ini.
“Kongres Ekonomi Bumiputera ini untuk kita ukur semula kejayaan juga menilai di mana kita gagal, apa kelemahan kita apa yang perlu kita baiki.
“Transformasi melalui enam tekad, baiki kelemahan di peringkat pelaksanaan. Kita perbetul semula ekonomi negara,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian KEB 2024, di sini hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, KEB2024 mempunyai kesan yang baik kerana ekonomi dunia sekarang berada dalam keadaan tidak menentu.
“Jadi kita tak boleh hidup dalam keadaan statik. Kita buat kajian-kajian untuk lonjak semula ekonomi negara.
“Kita nak struktur semula penyertaan Bumiputera dalam kek ekonomi yang boleh dibesarkan lagi,” kata Mohamad lagi.