Berita Semasa

Operasi Sepadu Bersih premis makanan, DBKL keluarkan 79 kompaun

KUALA LUMPUR – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan sebanyak 79 kompaun atas pelbagai kesalahan ketika melaksanakan Operasi Sepadu Bersih terhadap pengusaha premis makanan dan minuman di sekitar ibu negara, semalam

Kata DBKL dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, operasi tersebut dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk di The Garden Mall (Parlimen Lembah Pantai), Jalan Jalil Perkasa (Parlimen Seputeh), Jalan Manis 3, Taman Segar (Parlimen Cheras) dan Jalan Leboh Ampang.

facebook/DBKL

Operasi sama turut dijalankan di Jalan Tengkat Tong Shin (Parlimen Bukit Bintang), Taman Sri Sinar dan 1Mont Kiara (Parlimen Segambut).

“Sebanyak 93 premis dilawati namun 34 premis tidak beroperasi, menjadikan hanya 59 sahaja premis yang diperiksa dalam operasi berkenaan,” kata DBKL dalam hantaran tersebut.

facebook/DBKL

Pihak DBKL turut berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan keadaan kebersihan lokasi yang diperiksa.

“Hasil daripada pemeriksaan, tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah UUK 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

facebook/DBKL

“Selain itu, 79 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya lagi.

DBKL turut berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button