Ahmad Zahid zahir komitmen penuh sidang Parlimen kali ini
KUALA LUMPUR- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan komitmen penuh anggota blok kerajaan pada sidang Parlimen kali ini.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
“Pagi ini saya telah hadir ke Parlimen dan mendengar Titah Diraja oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.
“Insya-Allah, saya bersama-sama YAB Perdana Menteri dan seluruh barisan Ahli Parlimen Kerajaan telah bersedia sepenuhnya untuk sesi perbahasan Titah Diraja bermula esok dan akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut berkongsi beberapa gambar sesi yang diadakan pada hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka mengingatkan bahawa Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Ahli Parlimen sebagai para penggubalnya.
“Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan,” titah baginda.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.