Berita Semasa

KPDN terima 99 aduan berkenaan harga jualan bazar Ramadan

PUTRAJAYA – Sebanyak 99 aduan berkenaan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan diterima setakat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, anggota penguatkuasaannya akan terus melaksanakan pemantauan bagi memastikan harga jualan sentiasa berpatutan.

“Saya tidak mendengar harga melampau kecuali satu kes (yang mana) nasi ayam berempah yang dijual dengan harga RM15 yang saya anggap sangat terpencil. Bila pegawai kita pergi lakukan pemeriksaan, gerai itu sudah tidak dibuka mungkin setelah mendapat kritikan.

“Sebenarnya kalau satu nasi dengan ayam ataupun sayur paling tinggi harga sekitar RM8 hingga RM9, itu kita faham. Tetapi kalau sampai RM15, itu dah dianggap tidak berpatutan, namun kes itu terlalu asing dan tidak menjadi isu di mana-mana bazar Ramadan,” katanya selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat kebangsaan di Presint 14, di sini hari ini.

Sejak Sabtu lalu, tular di media sosial seorang pembeli meluahkan rasa kecewa apabila dia membeli nasi ayam berempah yang tidak sepadan dengan harga RM15 sebungkus di sebuah bazar Ramadan di Seri Kembangan, Selangor.

Salahuddin berkata, pegawai penguat kuasa KPDN tidak mengenakan denda atau menyita barang jualan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi nasihat kepada peniaga yang didapati menjual pada harga terlalu mahal.

“Kita sangat mengalu-alukan (mana-mana perniagaan), sebagai Menteri KPDN saya mahu ekonomi tempatan berkembang dengan cepat, (peniaga) jual dengan harga apapun asalkan mereka menepati (undang-undang), tidak berlakunya pencatutan atau pengambilan untung berlebihan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button