Berita Semasa

11 premis makanan kotor di ibu negara diarahkan tutup

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 premis perniagaan makanan di sekitar Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Abdullah di sini diarahkan tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Arahan dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar melalui Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) pada Khamis lalu.

DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 33 buah premis yang mana tiga daripadanya didapati tidak beroperasi.

“Hasil daripada pemeriksaan, 11 premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah peruntukan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

DBKL memberitahu, tindakan dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button