Kadar penggunaan 5G cecah 29.9 peratus, rangkumi lebih 10 juta pengguna – Fahmi
KUALA LUMPUR – Setakat 31 Januari tahun ini, kadar penggunaan 5G di Malaysia mencapai 29.9 peratus merangkumi 10.07 juta pengguna, maklum Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, angka itu menyaksikan peningkatan sebanyak 17.4 peratus berbanding November tahun lepas, beradasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya ingin berkongsi dengan anda, dan berdasarkan angka terkini yang diberikan oleh SKMM kepada saya, penggunaan 5G telah menyaksikan peningkatan.
“Pada November 2023, kami melihat kadar pengambilan atau penerimaan kira-kira 12.5 peratus dan secara amnya kami telah mencapai kadar penggunaan 29.9 peratus yang menakjubkan pada bulan Januari
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran percubaan teknologi Maxis 5G-Advanced pertama di Malaysia dan Asia Tenggara di ibu negara hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
5G-Advanced, juga dikenali sebagai 5.5G, menjanjikan peningkatan sehingga 10 kali ganda lebih laju berbanding 5G.
Mohamad Salim berkata, percubaan 5.5G ini menunjukkan potensi sektor telekomunikasi Malaysia untuk menyumbang dalam memajukan ketersambungan komunikasi di negara ini.
“Kami berharap lebih ramai peserta industri akan merintis teknologi inovatif yang akan membantu perusahaan Malaysia meningkatkan rantaian nilai melalui penyelesaian komersial dan perindustrian generasi akan datang,” katanya.