Jenayah & Mahkamah

Buruh binaan jadi pesalah pertama disebat kerana khalwat

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan berusia 42 tahun menjadi pesalah khalwat pertama yang dikenakan hukuman sebat selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mohd Affandi Awang, akan dikenakan hukuman empat sebatan di penjara selepas tamat tempoh rayuan.

Tertuduh turut dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Hakim Syarie, Hamidi Shafiee membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat.

Kesalahan tersebut merupakan kesalahan kedua dilakukan tertuduh selepas kejadian pada Julai 2023 yang mana Mohd Affandi sebelum ini didenda RM2,700.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, menetapkan kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.

 

Show More

Related Articles

Back to top button