Berita SemasaBisnes & Ekonomi

KKDW tutup 23 anak syarikat catat kerugian

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan
sebanyak 23 anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah ditutup selepas mencatatkan kerugian sehingga tidak dapat beroperasi.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penutupan 23 anak syarikat daripada 123 jumlah keseluruhan anak syarikat dibawah KKDW tersebut dibuat berdasarkan analisis yang dilakukan oleh beliau.

Jelasnya, baki 100 syarikat yang masih beroperasi akan menjalani proses penyusunan semula perniagaan.

“Dibawah KKDW terdapat 123 syarikat dan anak syarikat. Setelah melakukan analisis, saya telah menutup 23 daripadanya kerana (syarikat berkenaan) tidak ada daya untuk dihidupkan semula atau beroperasi semula untuk menjana keuntungan.

“Baki 100 lagi syarikat, saya harap dalam bulan Julai nanti apabila kita adakan pemukiman, saya akan menilai prestasi setiap syarikat itu,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kos penutupan 23 syarikat tersebut, Ahmad Zahid berkata, ia tidak melibatkan sebarang kos.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Majlis Amanat Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW di ibu negara hari ini.

Dalam ucapanya pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menzahirkan rasa bangga selepas majoriti anak syarikat KKDW memperolehi keuntungan yang memberangsangkan pada tahun 2023.

Beliau berkata, jumlah pendapatan syarikat subsidiari pada 2023 mencecah hampir RM4 billion dengan keuntungan selepas cukai melebihi RM100 juta.

“Saya dimaklumkan dividen tahun 2022 dibayar kepada syarikat subsidari kepada pemegang saham masing- masing mencecah hampir RM100 juta juga.

“Saya meletakkan pengharapan agar kadar dividen bagi tahun kewangan 2023 akan lebih tinggi. Saya mahu kenaikan itu terus ditambah baik. Saya mahu pulangan dividen yang lebih tinggi daripada syarikat masing-masing.

“Pulangan dividen yang tinggi bukan sahaja baik untuk syarikat tetapi ia akan memberi pulangan yang besar kepada Kerajaan dan terus kembali kepada rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button