Lebih 80 warga media berentap dalam acara menembak anjuran Maritim Malaysia
PUTRAJAYA – Lebih 80 warga media ‘bertempur’ dalam acara menembak di Lapang Sasar Shapadu di sini sempena Hari Bersama Media Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini.
Pertandingan yang bermula pada pukul 10 pagi itu dibahagikan kepada dua acara iaitu tembakan ‘precision’ dan jatuhan piring dengan menggunakan pistol jenis Glock dan CZ.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, acara tahunan itu diadakan sebagai menghargai peranan media dalam membuat laporan mengenai agensi penguatkuasaan itu.
Beliau berkata, program itu juga diharap dapat merapatkan hubungan semua pengamal dan agensi media yang menjadi mata dan telinga dalam penyampaian maklumat yang telus dan tepat.
Katanya, Maritim Malaysia merekodkan kira-kira 9,500 liputan berita mengenai agensi itu sepanjang tahun ini.
“Program ini diharap dapat merapatkan hubungan Maritim Malaysia dengan semua agensi media di tanah air sekaligus membantu usaha menyebar luas usaha agensi ini dalam menjamin keselamatan khususnya di perairan negara.
“Kita akan teruskan program seumpama ini. Insyallah pada tahun depan kita akan adakan Hari Bersama Media di Pulau Pinang dengan acara yang lebih menarik,” ujarnya.
Sementara itu menurut Mohd Rosli, sebanyak 1,172 insiden direkodkan berlaku di perairan negara sepanjang bulan Januari hingga Oktober tahun ini dengan 53 individu dilaporkan meninggal dunia manakala 24 lagi masih belum ditemui.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika terlibat dalam aktiviti di laut terutama sepanjang musim tengkujuh.
Beliau juga meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang disyaki menyalahi undang-undang kepada Maritim Malaysia.