Berita Semasa

KPM akan berjumpa Kementerian Komunikasi isu pemilikan akaun TikTok kanak-kanak bawah 13 tahun

BAYAN LEPAS – Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi berhubung pemilikan akaun TikTok bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat penuh daripada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli berhubung isu berkenaan.

“Kita akan minta penjelasan daripada Menteri Komunikasi sebab saya perlu mendapatkan maklumat penuh dan pedoman daripada beliau, supaya kita boleh tengok apa kesan serta impaknya kepada anak-anak kita.

“Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi, maknanya kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa,” katanya di Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Sri Mutiara Raia Inn, di sini hari ini.

Fadhlina sebelum itu menyampaikan sijil graduasi kepada 824 kanak-kanak Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut dan 107 kanak-kanak bagi Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut.

Fahmi sebelum ini pernah berkata, isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah usia 13 tahun antara isu dipertimbang untuk diutarakan kepada pengurusan platform media sosial tersebut.

Beliau berkata, terdapat sedikit kerisauan berhubung pemilikan akaun TikTok oleh golongan terbabit selain garis panduan komuniti media sosial tersebut menyatakan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform itu.

Berdasarkan pengalaman, katanya, ramai pelajar sekolah rendah mempunyai akaun TikTok yang mana, ia suatu keadaan yang amat menggusarkan dan merisaukan.

Tambah beliau, ada beberapa trend yang tidak baik yang dilihat tular di media sosial termasuk TikTok dan kanak-kanak boleh terikut.

Justeru kata Fahmi, ibu bapa perlu mengawasi kandungan yang dilayari oleh anak-anak ketika menggunakan Internet.

Show More

Related Articles

Back to top button