Jenayah & Mahkamah

Bapa viral pukul anak didakwa atas tuduhan merogol

PETALING JAYA – Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun pada November tahun lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun, tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 16 tahun enam bulan.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 Nov 2023 di sebuah rumah di Rembau, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa anak kandung tertuduh dan jika diberikan jaminan dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

Tertuduh dalam rayuannya memohon maaf dan memberitahu ketika kejadian dia mabuk sehingga melakukan perbuatan tidak baik.

Hakim tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada 25 Jan, media melaporkan remaja yang dipukul bapanya turut mendakwa menjadi mangsa rogol suspek pada November lalu.

Menurut laporan, remaja itu ditendang dan dipukul bapanya yang dipercayai mabuk selepas mendedahkan tindakan suspek merogolnya kepada teman wanita lelaki tersebut.

Rakaman kejadian itu kemudian tular di media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button