JIM tahan 16 warga asing dalam serbuan pusat hiburan haram di Puchong
PUTRAJAYA – Seramai 16 warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen atau pas yang sah dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah premis yang diubah suai menjadi pusat hiburan haram di Puchong, malam semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan pada pukul 12 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Integriti JIM Putrajaya.
“Berdasarkan maklumat risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak dan seramai 25 orang warganegara asing telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, seramai 13 lelaki warganegara Nigeria, seorang wanita warganegara Uganda dan dua wanita warganegara Thailand masing-masing berumur di antara 25 hingga 47 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen atau Pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung terdapatnya warganegara asing yang berpesta sehingga menganggu gugat ketenteraman awam di kawasan kejiranan yang berhampiran.
“Modus operandi premis ini ialah menyediakan hiburan dan minuman keras serta terdapat segelintir pengunjung akan membawa gadis warganegara asing sebagai pelayan.
“Premis ini menjadi tumpuan dalam kalangan warganegara Afrika untuk berhibur kerana ia beroperasi mulai jam 7.00 petang hingga jam 2.00 pagi tanpa sebarang gangguan.
“Kesemua ditahan di atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Katanya, semasa serbuan, sebahagian daripada pengunjung berada di bawah pengaruh alkohol yang melakukan provokasi dan cuba melarikan diri dengan merempuh pegawai operasi namun berjaya disekat.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati
melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.