‘Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan’ – PM Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Kata Anwar, beliau mewakili seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan taat setia kepada Seri Paduka.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku!” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Fecebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara, di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.