Piala Asia: Disebalik tangisan kegembiraan penyokong Malaysia, ada kisah yang menyentuh jiwa
KUALA LUMPUR – Disebalik tangisan kegembiraan seorang penyokong bola sepak Malaysia dalam perlawanan menentang Korea Selatan malam tadi,
terselindung pengorbanan yang menyentuh jiwa.
Tangisan seorang lelaki berambut perang itu berjaya mencuri tumpuan selepas Harimau Malaya berjaya mendahului Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 3-3.
Difahamkan, penyokong tersebut sangup menjual motosikal Yamaha LC miliknya pada harga RM4,500 bagi membiayai kos menyaksikan perlawanan Malaysia di Piala Asia Qatar.
Menerusi satu iklan di Facebook yang dimuat naik pada 28 Disember lalu, lelaki yang dikenali sebagai Derrick Gan, berasal dari Melaka itu pernah memuat naik hantaran bagi menjual motosikalnya.
“Mencari dana ke Qatar. Malaysia ke Piala Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motosikal demi negara tercinta,” katanya dalam hantaran tersebut.
Susulan daripada itu, rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa bangga, malah ada yang mahu mewujudkan tabung bagi membantu lelaki tersebut membeli motornya semula.
“Jom buat tabung untuk saudara Derrick biar beliau dapat beli balik motor dia..harga sebuah semangat patriotik tidak dapat dijual beli dengan duit, tapi sangat terharu dengan kesungguhan beliau,” kata seorang pengguna Instagram bernama AliaFasiha.