Berita Semasa

Tun Mahathir persoal SPRM panggil anaknya

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerintahkan anaknya, Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan segala asetnya.

Menurut Mahathir, tindakan SPRM itu adalah bertujuan untuk mengumpul bukti bagi mendakwa dirinya.

“Anak saya kena cerita (isytihar) semua perniagaan dia, duit dia, harta dia dari tahun 1981, tahun saya menjadi Perdana Menteri sehingga sekarang.

“Tidak lama, hanya 42 tahun. Saya yakin anda semua tahu apa yang anda buat selama 42 tahun lepas. Betul bukan?,” soalnya secara berseloroh di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM mengesahkan sudah memanggil Mirzan yang juga ahli perniagaan bagi membantu siasatan berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau juga dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya, sama ada dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan SPRM.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau meminta agar SPRM mengemukakan tuduhan sekiranya beliau ada melakukan apa-apa kesalahan supaya dapat mempertahankan dirinya di mahkamah.

“Saya mahu bagitahu saya ini tiada siapa pun buat tuduhan. Kalau ada tuduhan sila bagitahu saya supaya saya boleh pertahankan diri saya di mahkamah.

“Tapi dia (SPRM) kata dekat anak saya ada tuduhan. Kalau tidak buat apa yang dikehendaki kena penjara lima tahun,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button