Berita Semasa

Kaum Melayu akan hilang dalam masa 10 tahun – Tun M

PUTRAJAYA – Bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kaum Melayu di negara ini akan hilang dalam masa 10 tahun.

Beliau membuat dakwaan itu ketika berucap dalam program Minda Negarawan ‘Iktibar 150 tahun Perjanjian Pangkor’ di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.

Beliau berkata, kaum Melayu akan ditawan oleh bangsa lain tanpa melibatkan peperangan kerana tiada pihak yang mengambil berat kepada nasib kaum Melayu pada ketika ini.

“Kita tahu negara dah hilang banyak, nak kata tak tahu tak boleh. Kita sudah hilang empat negeri di utara, Pulau Riau, Singapura dan Pulau Pinang.

“Kalau mereka (Melayu) sedar, ambillah tindakan sewajarnya. Kita tahu apa yang boleh dilakukan, umpamanya kalau ada wakil rakyat yang tidak bercakap (mengenai Melayu), kita nak mereka bercakap.

“Kita seolah-olah ditawan oleh bangsa lain tanpa perang,” kata Tun Mahathir dalam ucapannya.

Sehubungan itu, Tun Mahathir berharap orang Melayu dapat mengukuhkan perpaduan bagi mengekalkan bangsa itu di negara ini.

“Jangan dalam pilihan raya, nak keluar undi pun tak mahu, (Melayu) 65 peratus sahaja yang keluar, Cina pula 98 peratus (keluar mengundi). Itu kenyataan,” katanya lagi

Pada Julai tahun lalu, Tun Mahathir dilapor sebagai berkata, identiti kaum Melayu tidak mampu kekal sebagai sebuah bangsa dan bakal kehilangan negara.

Ketika itu beliau mendakwa, pendatang asing menuntut Malaysia yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara berbilang bangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button