Selepas 2 bulan ditutup, Syukor Burger bangkit semula
KUALA LUMPUR – Selepas 2 bulan ditutup restoran Syukor Burger dan Syukor Coffee yang terletak di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, Johor dibuka semula hari ini.
Menurut pemilik restoran itu, Syukor Majid, kedua-dua restoran itu terpaksa ditutup selepas mengalami kerugian sejak selepas bulan Ramadan tahun lalu.
“Berbulan-bulan abang cuba bertahan, tapi bak kata orang tua-tua, kalau dibiarkan, tokey balak pun kurus.
“Jadi, dua bulan lepas abang terpaksa tutup sementara operasi Syukor Burger kat sini. Dia bukan saja tak buat profit, malah mengganggu urusan bisnes-bisnes abang yang lain,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Syukor berkata, dalam tempoh itu pihaknya muhasabah diri dan memperbaiki kesilapan.
Pada masa sama, beliau juga bersyukur apabila mendapat bantuan daripada pasukan Malakat Mall yang sedia membantu untuk bangkit semula.
“Sekarang masa untuk kembali bangkit. Hari ini kami buka semula. Terima kasih kepada team Coach Fadzil daripada Malakat Mall sudi hulurkan tangan, hantar pakar bidang F&B, bagi semangat pada kami. Sebulan dua lagi, kita bukak Syukor Burger dalam Malakat Mall juga insyaa-Allah,” katanya.