Jenayah & Mahkamah

SPRM sahkan panggil Mirzan Mahathir

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan ahli perniagaan yang juga anak kepada bekas perdana menteri, Mirzan Mahathir mengisytiharkan harta dimilikinya dalam masa 30 hari.

SPRM dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya telah memanggil Mirzan semalam bagi membantu siasatan.

Menurut kenyatan itu, Mirzan telah hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 9.30 pagi dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

SPRM memaklumkan, notis berkenaan menetapkan Mirzan supaya mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih di dalam atau di luar negara dalam masa 30 hari.

“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan SPRM memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan itu dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button