Berita Semasa

Kapal baharu Maritim Malaysia mulakan rondaan di perairan Sarawak

KUCHING – Selepas diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 2 Januari yang lalu, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ruji Ubi berkata, pengoperasian sulung Kapal OPV1 ini dijangka memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan laluan kapal-kapal dagang.

Beliau berkata, keberadaan Kapal OPV1 ini mampu memenuhi matlamat operasi
penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep deterrent bagi mengekang
pencerobohan kapal-kapal asing.

“Kapal OPV1 akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda Maritim Malaysia yang akan melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh masuk ke laut negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan pengoperasian kapal berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim
Datuk Hamid Mohd Amin dan Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana
Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus.

Ujar beliau lagi, kehadiran Kapal OPV1 juga bertujuan untuk mengurangkan risiko syarikat carigali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut
memandangkan kapal berkenaan berkeupayaan untuk melakukan operasi di laut dalam jangka masa 21 hari tanpa ulang bekal.

Selain Kapal OPV1, Maritim Malaysia turut bakal melaksanakan perolehan bagi 10 buah aset strategik maritim seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Mengulas lanjut berkaitan status Kapal OPV2 dan OPV3, Ruji memaklumkan bahawa perkara berkenaan akan diangkat ke peringkat Kabinet.

 

Show More

Related Articles

Back to top button