Amaran ribut petir, hujan lebat di beberapa tempat hingga pukul 5 petang ini
CYBERJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda tujuh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sehingga pukul 5 petang ini.
Selain seluruh Melaka, keadaan cuaca itu turut diramal di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Di Kelantan, fenomena sedemikian diramal melanda Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Di Pahang pula membabitkan kawasan Kuala Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.
“Cuaca sama diramal di daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan,” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramalan cuaca itu turut dikeluarkan bagi kawasan Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong) serta Mukah di Sarawak.
“Di Sabah pula membabitkan kawasan pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat (Kota Marudu).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.