Masalah kewangan dipercayai punca majikan maut ditikam pekerja
IPOH – Polis percaya masalah kewangan menjadi punca kejadian seorang pekerja menikam majikannya sehingga maut di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka itu berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa seorang wanita berusia 49 tahun dengan suspek lelaki 54 tahun.
Katanya, kejadian yang meragut nyawa mangsa di tempat kejadian itu dilapor orang awam pada pukul 10.55 pagi.
“Dalam kejadian itu, mangsa maut manakala seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 42 tahun turut mengalami kecederaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Mohd Yusri berkata, suspek yang menikam mangsa menggunakan pisau dan mempunyai empat rekod jenayah itu berjaya diberkas polis .
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Katanya, dengan tertangkapnya suspek, kes itu dianggap selesai sementara menunggu pertuduhan oleh pihak pendakwa raya.