Banjir: Bank Muamalat tawar moratorium kepada pelanggan terjejas
KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menurut Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, bantuan khas itu akan diberikan sehingga enam bulan serta penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggannya yang terjejas.
Beliau berkata, pihaknya berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.
“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.
“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.
Sementara itu Khairul berkata, bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.