Bisnes & Ekonomi

MiiM tawar solusi pewarisan digital

CYBERJAYA – Perkembangan pesat teknologi komunikasi pada hari ini menyaksikan semakin banyak urusan harian dapat diselesaikan dengan mudah melalui penggunaan pelbagai peranti dan platform digital.

Urusan yang suatu ketika dahulu memakan masa berbulan-bulan kini mampu diselesaikan dalam masa yang singkat tanpa perlu berkejar ke sana ke mari.

Menyedari perkembangan itu, syarikat tempatan, Mawarith Integrated Sdn Bhd tampil memperkenalkan platform pewarisan digital untuk memudahkan orang ramai merancang hibah aset, pengurusan dan wasiat, serta penyelesaian harta pusaka.

Beroperasi sepenuhnya secara digital, platform dinamakan MiiM ini menyediakan solusi yang komprehensif bagi memudahkan orang ramai melakukan pewarisan dengan cara mudah dan sah.

Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn. Bhd yang baru dilantik pada 3 Januari 2023, Abdul Hadi Pilus berkata, MiiM menawarkan perkhidmatan digital pentadbiran hibah aset secara telus, profesional dan menetapi tuntutan syarak untuk kebaikan pemohon dan juga benefisiari (penerima) serta ahli waris.

Menurut Abdul Hadi, perancangan awal wasiat atau hibah penting untuk mengelak sebarang permasalahan berkaitan pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia.

“Dengan adanya platfom applikasi mobil dan laman web ini, kami menyediakan penyelesaian yang lengkap dan juga sebagai rujukan untuk orang ramai lebih ‘bersedia’ dalam melaksanakan hasrat pewarisan mereka.

“Dalam tempoh promosi, orang ramai boleh mendapatkan dokumentasi pewarisan secara percuma mereka di laman web kami www.miim.my untuk memudahkan urusan di institusi berkaitan sama ada di Pejabat Pesaka Kecil atau di Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Syariah, jika perlu.

“Bagi yang mahukan perkhidmatan pewarisan digital berserta dengan servis pentadbiran yang lengkap, kami mengenakan kadar yuran langganan yang berpatutan,” katanya kepada Malaysia Tribune, baru-baru ini.

Hadi berkata, perkhidmatan yang menepati piawaian perundangan itu ditawarkan kepada beberapa pakej yang boleh dirujuk di platfom kami.

“Kos bagi pakej pentadbiran pusaka kami boleh dilanggan secara bayaran bulanan atau secara one-off.

“Apa yang lebih penting adalah pengurusan pusaka ini dilakukan oleh pegawai kami yang berpengalaman luas dan penyediaan dokumentasi perancangan yang memenuhi piawaian perundangan,” ujarnya.

Menurut Hadi, melihat kepada kesedaran masyarakat yang semakin baik mengenai kepentingan menyediakan dokumentasi perancangan, pihaknya mensasarkan lebih daripada 10,000 pelanggan pada tahun ini.

Katanya, MiiM juga dijangka memperluaskan kempen perkhidmatannya dengan melantik kira-kira 5,000 ejen berdaftar sehingga hujung tahun ini.

Menurut Hadi, walaupun tahap kesedaran mengenai kepentingan merancang pewarisan semakin baik namun sebilangan besar daripada masyarakat masih tidak bertindak untuk melakukan tanggungjawab itu.

“Ramai yang mula cakna mengenai kepentingan pewarisan aset tapi apabila tiba bab pelaksanaan, ramai yang bertangguh. Walhal pengisytiharan hibah atau wasiat yang lengkap dapat mengelakkan banyak isu berkaitan pembahagian harta pusaka selepas kematian.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk ini boleh melayari laman web www.miim.my

Show More

Related Articles

Back to top button