Sukan

Junior Golf Summer Camp 2023 cungkil bakat muda

JASIN – Seramai 26 peserta mengambil bahagian dalam Program Junior Golf Summer Camp 2023 anjuran One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group yang diadakan di Jasin Heritage Golf Club di sini.

Program selama dua hari bermula 18 sehingga 19 Disember 2023 itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta muda mengenai dunia profesional sukan golf.

Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd Irwan A. Rahman berkata, kerjasama terjalin antara The Weststar Group merealisasikan projek perintis tersebut untuk memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.

“Program mengetengahkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air dan penampilan istimewa pemain golf pertama negara yang memenangi emas individu wanita di Sukan SEA, Ng Jing Xuen.

“Para peserta berusia 8 hingga 16 tahun ini sangat bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah dan profesional negara malah dinilai berdasarkan aspek teknikal, fizikal serta mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Mohd Wazeer Nawawi (duduk dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada Jebat Ahmad Mukhriz pada Majlis Penutup Junior Golf Summer Camp di Jasin Heritage Golf Club, Jasin Melaka
Jing Xuen (kanan) pada Junior Golf Summer Camp 2023 di Jasin Heritage Golf Club, Jasin, Melaka.

Beliau yang merupakan pengarah program tersebut berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Program Junior Golf Summer Camp 2023 di Jasin Heritage Golf Club, Jasin, Melaka.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Kewangan, The Weststar Group, Datuk Mohd Wazeer Nawawi dan pemilik Jasin Heritage Golf Club, Datuk Md Zaini Mohd Ladzim.

Mohd Irwan menambah penilaian itu amat penting kerana dapat membantu peserta-peserta memperbaiki kemahiran mereka termasuk dari segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental sekali gus dapat mengenal pasti kelebihan serta kelemahan mereka.

Katanya, maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada jurulatih-jurulatih para peserta oleh ibu bapa mereka malah dapat menggunakan data tersebut untuk memperbaiki diri terutama apabila ingin menyertai kejohanan kelak.

Selain itu, beliau bercadang memperluaskan program berkenaan kepada empat zon pada tahun hadapan di Kedah, Johor, Melaka dan Selangor.

“Saya berharap kerjasama bersama The Weststar Group dapat diteruskan untuk memartabatkan industri golf tanah air terutama di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Wazeer berkata The Weststar Group turut sama menyokong pertumbuhan bakat golf dalam kalangan remaja di negara ini.

“The Weststar Group berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada peserta memperbaiki diri bukan sahaja dalam bidang golf tetapi kehidupan seharian mereka.

“The Weststar Group juga berharap tahun hadapan boleh menyertai lagi penganjuran program Junior Golf Summer Camp,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button