Pemakaian pelitup muka digalakkan ketika guna pengangkutan awam
KUALA LUMPUR – Orang ramai digalakkan memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun tidak diwajibkan, pemakaian pelitup digalakkan berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan sejak kebelakangan ini di seluruh negara.
“Sebarang dasar atau peraturan berkenaan pemakaian pelitup muka ini hanya boleh ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kementerian Pengangkutan tidak akan menetapkan dasar kita sendiri (berkaitan hal ini).
“Setakat ini, tidak ada kewajipan (memakai pelitup muka semasa berada dalam pengangkutan awam), kita hanya menggalakkan. Jadi, itu terpulang kepada penumpang atau orang ramai,” kata Anthony kepada media selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing)-Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan semasa kes Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan Covid-19 KKM.
Dzulkefly berkata, kerajaan juga tidak bercadang mengulangi sekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes ketika ini.
Kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Dis adalah 20,696 kes, peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49.