MYPOPI rayu derma bantu kanak-kanak menderita SCID
KUALA LUMPUR – Persatuan Pesakit Imunodefisiensi Primer Malaysia (MYPOPI) merayu rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk membantu Jaasritha, seorang kanak-kanak yang menderita akibat Severe Combined Immunodeficiency (SCID).
SCID adalah satu gangguan genetik jarang berlaku yang menyebabkan sistem imunisasi tidak berfungsi dengan baik, menjadikan pesakit mudah terdedah kepada jangkitan.
MYPOPI dalam satu kenyataan berkata, harapan Jaasritha yang dirawat di Hospital Serdang, Selangor sejak setahun lalu adalah untuk mendapatkan rawatan transplan sumsum tulang demi menyelamatkan nyawanya.
“Prosedur ini dapat membina semula sistem imunisasinya dan memberikan peluang untuk menjalani kehidupan yang normal, bebas daripada ancaman penyakit yang berterusan.
“Namun kos transplan sumsum tulang dan rawatan perubatan yang diperlukan adalah sangat tinggi dan di luar kemampuan keluarganya,” katanya.
Sehubungan itu, MYPOPI memohon sokongan dan bantuan kewangan daripada orang ramai.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, akan membawa harapan baru kepada Jaasritha dan keluarganya.
“Tindakan segera sangat penting kerana masa semakin suntuk untuk Jaasritha. Sokongan anda boleh memberi perubahan yang besar dalam hidupnya,” katanya lagi.
Untuk menderma, sila salurkan sumbangan anda kepada Persatuan Pesakit Imunodefisiensi Primer Malaysia (MYPOPI) atau di pautan https://feji.us/y68m84
Segala sumbangan anda akan terus digunakan untuk rawatan Jaasritha.