PM X

Anwar zahir rasa sedih atas pemergian Sulaiman Abdullah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas pemergian peguam terkemuka negara, Datuk Sulaiman Abdullah.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata Allahyarham bukan hanya seorang peguam, malah seorang sahabat yang akrab bersama beliau dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.

“Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa.

“Saya amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja.

“Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan ruh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Menurut anak Allahyarham, Huzir Sulaiman,
jenazah bapanya akan dimandi dan dikafan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer di sini sebelum solat Zuhur hari ini.

Allahyarham merupakan antara 12 tokoh dilantik dalam Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) yang diwujudkan semula bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ketika pentadbiran bekas Perdana
Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah Allahyarham pernah menjadi Presiden Majlis Peguam (2000-2001).

Show More

Related Articles

Back to top button