Program Setahun Bersama Kerajaan Madani: KPT tawar 24,500 peluang lanjut pelajaran ke IPT
KUALA LUMPUR – Sebanyak 24,000 tempat pengajian ke program peringkat Diploma dan Sijil di Politeknik atau Kolej Komuniti terpilih ditawarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini, sejak Jumaat.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, selain Politeknik dan Kolej Komuniti, 500 tempat lagi turut disediakan di lima buah program Pra Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Kita ada wakil daripada pelbagai kolej komuniti dan universiti dan mereka telah berusaha untuk menerangkan kepada pengunjung yang hadir ke reruai KPT, sekali gus boleh terus daftar terus untuk program tersebut,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di reruai KPT di sini, hari ini.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 Disember itu akan melabuhkan tirainya hari ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan merasmikan majlis penutupan petang ini.
Mengulas lanjut, Dr. Megat Sany turut
menyambut baik cadangan Anwar Ibrahim, yang berhasrat untuk memperluaskan pameran
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani ke seluruh negara.
Semalam, Anwar Ibrahim memaklumkan, cadangan tersebut akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan kerana katanya, program tersebut dilihat mampu memberi pencerahan mengenai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mensejahterakan rakyat.
“Saya rasa program sebegini bagusnya mereka boleh dapat maklumat terperinci kerana mungkin mereka tidak mempunyai platform untuk mereka bertanya, jadi bila mereka bertemu secara bersemuka macam ini jawapan terus dan penerangan itu kita boleh bagi dengan harapan mereka boleh sampaikan kepada yang lain,” kata Dr. Megat Sany.
Dalam pada itu, menurut Pensyarah di Institute of Planetary Survival for Sustainable Well Being, Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Dr Zaleha binti Kassim, Program Setahun Bersama Kerajaan Madani telah membuka peluang untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menguar-uarkan mengenai sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat.
“Sebelum ini peluang itu agak kurang jadi dengan adanya program ini apa yang kami boleh buat adalah kami boleh maklumkan kepada masyarakat tentang apa yang kami boleh bagi.
“Pada masa yang sama, pihak KPT akan jadi lebih peka bahawa apa yang mereka buat di peringkat IPT harus memberi impak kepada terus masyarakat setempat bukan hanya menulis jurnal,” katanya ketika ditemui di reruai KPT di sini, hari ini.