Jual video lucah sendiri di platform X: MCMC rakam kenyataan pelajar IPTA
CYBERJAYA – Seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dirakam percakapan bagi membantu siasatan satu kes melibatkan penjualan kandungan melibatkan video lucah adegan sendiri dengan menggunakan aplikasi X.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), siasatan awal pihaknya mendapati, kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.
“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali, sehingga memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video.
“Kegiatan ini dibongkar hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh MCMC berdasarkan aduan awam.
“Tindakan menjual video lucah oleh suspek adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu katanya, hasil daripada operasi pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan MCMC telah bertindak menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan.
“Turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar institut pengajian awam
swasta (IPTS).
“Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di mana-mana platform media sosial kepada MCMC untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya.