Berita Semasa

Kereta rempuh motosikal dipandu lelaki cuba lari dari isteri

RAWANG – Tindakan seorang lelaki yang cuba melarikan diri ketika bertengkar dengan isteri dipercayai menjadi punca kereta dipandu lelaki berkenaan melanggar seorang penunggang motosikal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, video berdurasi 18 saat itu berlaku pada pukul 3.30 petang di Jalan Tun Teja 3, Taman Tun Teja, Rawang.

Dalam video berkenaan, sebuah kereta Honda Civic dilihat merempuh sebuah motosikal yang berada di bahagian depan kereta berkenaan.

“”Kejadian berlaku semasa pemandu kereta hendak melarikan diri daripada isterinya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mangsa yang pada masa itu berada di tempat kejadian cuba menghalang pemandu kereta, namun dia telah dirempuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan pada bahagian siku, tangan dan kaki.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Sehubungan itu, Noor Ariffin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden
Agilan Iswaran di talian 019-5230801 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222

Show More

Related Articles

Back to top button