MCMC bersama tiga rakan strategik perkukuh ekosistem digital dalam komuniti
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan ekosistem digital dalam komuniti bersama tiga rakan strategiknya, iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Majlis pertukaran MoU itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023.
Pertukaran dokumen di antara MCMC dengan FELDA, MMA dan MPS disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Pengarah Komunikasi Strategik FELDA, Mastura Abdul Manap; Setiausaha Agung Kehormat MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo; Presiden MPS, Prof. Amrahi Buang.
Melalui kerjasama ini, MCMC bersama FELDA, MMA dan MPS akan membantu komuniti masing-masing untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah sejajar dengan ketersediaan PEDi sebagai pemangkin ekonomi digital negara.
MCMC dan FELDA juga akan menjalin kerjasama melalui Kempen Komuniti Pintar yang menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui PEDi di kawasan-kawasan FELDA.
Beberapa siri kempen kesedaran yang berpaksikan empat tonggak utama iaitu literasi digital, keselamatan siber, peluang pendapatan, dan pembinaan kapasiti berdasarkan platform tanpa tunai akan turut melibatkan rakan-rakan strategik MCMC yang lain termasuk Touch ‘n Go, Foodpanda, Boost, Maybank MAE QR, dan lain-lain penyedia perkhidmatan
kewangan.
Sementara itu, pertukaran MoU di antara MCMC dengan MMA dan MPS dijangka merancakkan pendigitalan di klinik dan farmasi komuniti swasta melalui Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Kertas Putih Perubatan.