Kanak-kanak hilang jatuh longkang ditemukan meninggal dunia
MELAKA – Jasad seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang semalam di longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah di sini ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat Muhammad Danish Mohd. Faizal, 2, ditemukan dalam longkang besar di Taman Desa Baru berhampiran Hospital Melaka, kira-kira 1.3km dari lokasi asal dia dipercayai terjatuh.
Pegawai Zon 1 Bomba Melaka Zulkhairani Ramli berkata, mangsa ditemukan dalam longkang selebar 4.6m pada kedalaman hampir 2m selepas pencarian dilakukan hampir 18 jam sejak petang semalam.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Dilaporkan semalam kanak-kanak tersebut disedari hilang kira-kira 3.30 petang sewaktu ibu bapanya sedang berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood.
Mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.
Kehilangannya disedari oleh keluarganya setelah menemukan selipar mangsa di kawasan berumput berdekatan dan mereka memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa setelah mencarinya selama 20 minit.