
Hari Wilayah Persekutuan 2024 disambut meriah
PUTRAJAYA – Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) yang disambut bersekali dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024) bermula hari ini hingga Ahad menerima sambutan yang menggalakkan pada hari pertama program berlangsung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, pada hari pertama, program dimulakan dengan aktiviti solat subuh berjemaah bersama warga Wilayah Persekutuan yang dihadiri lebih 3,000 jemaah.
“Seterusnya, warga Wilayah Persekutuan menyertai aktiviti Berjalan Sihat@Putrajaya sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Putra ke Dataran Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di Dataran Putrajaya di sini pagi tadi.
Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah Zaliha, sebanyak 61 program telah disusun melibatkan komuniti sepanjang tahun ini sempena ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan yang ke-50.
“Program-program HWP 2024 pada tahun ini merangkumi enam teras utama iaitu pengiktirafan, ilmiah dan kerohanian, sosial dan kemasyarakatan, keusahawanan, seni dan budaya serta sukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, Program Usaha Jaya Insan (PUJI) turut diketengahkan dalam memaparkan inisiatif-inisiatif kerajaan untuk golongan miskin tegar atau miskin di Wilayah Persekutuan.
“Inisiatif ini merupakan kolobrasi strategik Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Yayasan Hasanah dan Pepper Labs bagi menambahkan pendapatan ketua isi rumah yang seterusnya menoktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan melalui pengunaan teknologi ICT,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune