17,301 saringan kesihatan mental sejak MyMinda dilancarkan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,301 saringan kesihatan mental dilaksanakan sejak Modul Kesihatan Mental (MyMinda) dilancarkan melalui aplikasi MySejahtera pada Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,983 atau 23 peratus daripadanya didapati mempunyai risiko kemurungan manakala 2,592 (15 peratus) pula mempunyai risiko keresahan.
“Individu yang berisiko akan diberikan akses kepada bahan-bahan psiko-pendidikan di dalam MyMinda selain diberikan akses kepada Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555,” kata Dr. Zaliha, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi ketika soalan tambahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pencapaian MyMinda dalam MySejahtera.
Beliau kemudiannya menambah, pengguna MyMinda turut boleh mendapatkan akses kepada janji temu perkhidmatan kesihatan mental di semua klinik kesihatan yang dimulakan tahun depan.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan juga melaksanakan sesi libat urus bersama universiti, kaunselor dan profesional kesihatan mental swasta bagi mempertingkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental kepada rakyat.