Israel benar kemasukan bahan api minimum untuk PBB
BAITULMAQDIS – Rejim Israel, semalam bersetuju membenarkan 140,000 liter bahan api dibawa masuk ke Gaza dalam tempoh dua hari sekali selepas didesak Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan AFP, perkara tersebut disahkan kedua-dua pegawai mewakili Israel dan AS, yang enggan dikenali.
Dalam pada itu, Gaza yang pada ketika ini berdepan kekurangan sumber bahan api akan mengancam misi penghantaran bantuan dan komunikasi di wilayah yang dikepung itu.
Menurut maklumat daripada pegawai Israel, sebanyak dua lori dalam tempoh sehari akan dibenarkan masuk untuk memenuhi keperluan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun beliau berkata, jumlah penghantaran bahan api itu hanya akan memberikan sokongan minimum sahaja bagi bagi sistem bekalan air, kumbahan dan kebersihan di Gaza untuk mencegah wabak.
Sementara itu, seorang pegawai dari Jabatan Negara AS, pula memberikan maklumat lanjut dengan mengesahkan Israel komited membenarkan 120,000 liter bahan api bagi tempoh setiap 48 jam untuk pergerakan lori Agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA).
Beliau berkata, bahan api itu juga bagi keperluan lain antaranya penyahgaraman air, pengepaman kumbahan, penjualan makanan dan kemudahan hospital di selatan Gaza.
Selain itu, katanya 20,000 liter tambahan bahan api setiap dua hari akan dibenarkan masuk ke penjana kuasa syarikat telekomunikasi Paltel, yang memberi amaran bahawa rangkaian telefon bimbit akan terputus akibat kekurangan bahan api.
Israel mengenakan sekatan ketat ke atas semua bahan dan peralatan memasuki Gaza yang dikuasai Hamas apabila melancarkan serangan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap operasi pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.
Israel hanya bersetuju membenarkan lori bantuan masuk selepas pemeriksaan ketat, dengan sejumlah kecil bahan api dibenarkan dihantar Rabu lalu untuk melaksanakan misi bantuan UNRWA.
Perjanjian untuk menghantar bahan api itu bagaimanapun mendapat bantahan kuat daripada beberapa anggota gabungan sayap kanan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Namun, ia tidak dapat dielakkan susulan peningkatan kebimbangan antarabangsa terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat di Gaza.
Sebelum ini, AS mendesak Israel untuk membenarkan kemasukan bahan api masuk untuk suatu tempoh tertentu. Ia termasuk usaha dilakukan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang menghubungi seorang anggota Kabinet Israel Rabu lalu dan memberi amaran bahawa kekurangan bahan api berisiko menyebabkan bencana kemanusiaan dalam kalangan 2.3 juta penduduk Gaza.
Pegawai Israel sebelum ini, mendesak Hamas supaya membebaskan tahanan sebelum tekanan boleh dikurangkan ke atas Gaza.
Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang mengetuai satu parti nasionalis-agama dalam gabungan Netanyahu berkata, keputusan untuk membenarkan bahan api adalah suatu kesilapan besar.
“Ia menunjukkan kelemahan, sekali gus memberikan oksigen kepada musuh,” katanya dalam satu kenyataan.