Berita Semasa

SPAN jadi agensi pelopor ukur pelepasan gas rumah kaca

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjadi badan kawal selia pertama di Malaysia yang memantau dan mengukur pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui kerjasama dengan Malaysia Green Technology dan Climate Change Corporation (MGTC).

Inisiatif yang dilaksanakan melalui perisian Sistem Operasi Karbon Rendah (LCOS) yang dibangunkan MGTC itu melibatkan operasi SPAN dan operator-operator perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago berkata, pengiraan dan pengurusan pelepasan GHG yang melibatkan 13 pemegang lesen di bawah seliaan SPAN itu selaras dengan komitmen negara menjadi negara neutral karbon seawal 2050.

Antaranya Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ), Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP), Bahagian Bekalan Air W.P. Labuan (BBAL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Selaku sebuah badan kawal selia terhadap perkhidmatan air langkah itu penting bagi memastikan industri ini tidak menjadi penyumbang kepada pelepasan GHG yang tinggi.

Related Articles

“Kami yakin penggunaan aplikasi LCOS ini dapat membantu menjana data dan seterusnya membantu kami mencari kaedah bagi meminimumkan pelepasan (sekiranya ada) dari masa ke masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Kol (K) Datuk Ahmad Faizal berkata, SPAN adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia pada mesyuarat tahunan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) Persidangan Parti Ke-28 (COP28) yang bakal dianjurkan di Dubai, UAE pada Disember 2023.

Pengerusi Jawatankuasa ESG SPAN, Abdul Halim Jantan berkata, aplikasi LCOS yang dibangunkan MGTC yang mesra pengguna dapat membantu urusan pengiraan pelepasan GHG serta menetapkan sasaran pengurangan pelepasan berdasarkan kaedah sains.

Mulai November 2023, MGTC telah menyediakan latihan bagi pekerja SPAN dan 13 pemegang lesen tersebut yang akan bertanggungjawab untuk memasukkan data ke dalam LCOS secara sistematik.

 

Show More

Related Articles

Back to top button